PROJEK SULAM ANJURAN MAHASISWA TAHUN SATU PROGRAM FIZIK GUNAAN, FST (USIM) BERSAMA MURID SMKA BANDAR PENAWAR, JOHOR

///PROJEK SULAM ANJURAN MAHASISWA TAHUN SATU PROGRAM FIZIK GUNAAN, FST (USIM) BERSAMA MURID SMKA BANDAR PENAWAR, JOHOR

NILAI, NEGERI SEMBILAN, 12 JAN 2022 – Seramai 117 orang murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Johor telah menyertai program “Service Learning Malaysia-University for Society” (SULAM) yang telah dianjurkan oleh sekumpulan pelajar Tahun Satu terdiri daripada sebelas orang mahasiswa-mahasiswi dari Program Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Program ceramah ini diselia oleh Dr. Wan Maisarah Mukhtar selaku penyelaras kursus Kaedah Eksperimen yang berlangsung selama dua jam pada 12 Januari 2022. Ianya bertemakan Kesedaran Keselamatan di Makmal Sains dan telah berjaya dilaksanakan secara maya melalui aplikasi Google Meet.

Rentetan silibus matapelajaran Sains di sekolah yang agak padat, pendedahan secara terperinci tentang isu keselamatan di makmal sains tidak mampu disampaikan sepenuhnya oleh para guru. Bagi menyelesaikan permasalahan ini, pelajar Tahun Satu Program Fizik Gunaan telah membuat satu inisiatif dengan menganjurkan program kesedaran untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada komuniti yang disasarkan tentang kepentingan memahami isu keselamatan di makmal, teknik pemakaian PPE yang betul dan simbol-simbol keselamatan yang perlu dipatuhi dan dicakna.

Slot pertama disampaikan oleh saudari Nur Atiqah Hazrina Binti Zulkifli di mana para peserta program didedahkan dengan peraturan-peraturan yang perlu mereka patuhi di dalam makmal. Penceramah juga turut berkongsi tentang kepelbagaian PPE mengikut penggunaan dan jenis-jenis makmal. Bagi menarik perhatian pelajar dan memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada para peserta, video dari sumber Youtube tentang teknik yang betul pemakaian PPE termasuk “donning” dan “doffing” turut dipaparkan. Setelah selesai slot pertama, peserta diberi masa lima minit untuk berehat.

Seterusnya, program ini diteruskan dengan slot kedua yang disampaikan oleh saudari Farah Batrisyia binti Mohd Ridzwan tentang simbol-simbol keselamatan di dalam makmal. Para pelajar diberi penerangan secara terperinci tentang simbol-simbol keselamatan berkaitan bahan kimia, alatan dan peranti. Di akhir slot, ahli jawatankuasa yang terlibat telah menayangkan klip video mengenai kesan mengabaikan simbol-simbol keselamatan tersebut bagi meningkatkan kefahaman serta memberi kesedaran kepada para peserta.

Program diteruskan dengan mengadakan sesi kuiz menggunakan aplikasi Quizziz yang diketuai oleh saudari Nur Amni Nadiah binti Mohd Salleh. Sesi tersebut dilaksanakan untuk menilai pemahaman para peserta tentang ilmu yang dikongsi dalam program ini.  Sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan perhatian yang diberikan oleh peserta, pihak penganjur turut menyediakan saguhati kepada murid-murid yang mendapat tempat pertama hingga tempat ketiga.

Sebagai kenang-kenangan, penganjur program bergambar bersama-sama dengan beberapa orang guru-guru Sains SMKA Bandar Penawar, pensyarah kursus dan para murid SMKA Bandar Penawar di akhir program. Sebelum melabuhkan tirai, ucapan penutup telah disampaikan oleh wakil guru SMKA Bandar Penawar, Encik Mohd Amerul Akmal dan pensyarah USIM, Dr. Wan Maisarah Mukhtar. Di antara isi ucapan oleh Dr. Wan Maisarah, beliau berpendapat bahawa program ini turut memberi impak terhadap beliau di mana jurang di antara komuniti dan pensyarah universiti juga dapat dirapatkan.

Sijil penghargaan telah disampaikan kepada pihak komuniti sebagai tanda penghargaan daripada Program Fizik Gunaan, FST. Harapan pihak penganjur adalah agar murid-murid yang terlibat dapat memanfaatkan maklumat dan pengetahuan daripada program ini bukan sahaja ketika berada di makmal sains, malah di dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut salah seorang daripada ahli jawatankuasa program, Muhammad Amiruddin Rahman bin Jamil, “Program ini sangat bermanfaat untuk diri saya. Yang pertama, program ini menggalakkan saya untuk berucap dengan orang ramai dan sekaligus meningkatkan daya keyakinan diri saya. Saya juga dapat mengukuhkan lagi kefahaman tentang isu-isu berkaitan keselamatan di makmal hasil daripada sesi soal jawab bersama komuniti”.

Secara keseluruhan, program SULAM ini mendapat sambutan yang amat baik daripada guru dan murid-murid SMKA Bandar Penawar meskipun ia berlangsung secara maya. Para mahasiswa-mahasiswi berpeluang untuk mengaplikasi ilmu yang dipelajari di dalam kuliah untuk disampaikan kepada murid-murid SMKA Bandar Penawar. Program ini turut memberi pengalaman langsung kepada pelajar Tahun Satu Program Fizik Gunaan dalam menganjurkan program besar yang melibatkan komuniti luar serta meningkatkan skil komunikasi dan skil kerjasama berpasukan.

“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang. Saya mewakili pihak sekolah sangat berbesar hati bekerjasama dengan pihak USIM bagi membantu meningkatkan pengetahuan murid-murid di sekolah saya. Saya yakin program seperti ini sangat bagus untuk kemenjadian murid, juga untuk kemenjadian mahasiswa USIM” ujar Encik Mohd Amerul Akmar bin Mohd Yunos, selaku guru matapelajaran Sains dan Fizik di SMKA Bandar Penawar.

“Aktiviti SULAM ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran interpersonal para mahasiswa-mahasiswi USIM dan juga menerap nilai etika dan profesionalisme di dalam diri masing-masing bukan sahaja untuk dimanfaatkan sepanjang tempoh pengajian, malah di alam pekerjaan nanti. Dengan adanya program sedemikian, diharapkan agar para pelajar Fizik Gunaan, FST bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat”, ucap Dr. Wan Maisarah, penyelaras kursus yang terlibat.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program kesedaran keselamatan makmal.

2022-03-29T08:52:13+00:00