Terap Minat Cinta Akan Alam Sekitar Menerusi Pendidikan Dan Amali
Nilai: Tahap kesedaran yang lemah dalam kalangan masyarakat setempat mengenai penjagaan alam sekitar mendorong mahasiwa tahun empat jurusan Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalankan projek berasaskan Pendidikan Alam Sekitar yang dinamakan Projek Green Lantern. Projek ini bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai kepentingan menjaga alam sekitar di samping mempraktikkan amalan sisa sifar dan 3R (reduce-reuse-recycle). Selain itu, projek ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menghasilkan produk sendiri menggunakan bahan terpakai.
Justeru, satu kit sabun telah diperkenalkan untuk menjayakan projek ini. Penghasilan kit sabun ini merupakan inisiatif baharu untuk menarik minat komuniti dalam mempraktikkan konsep sisa sifar dan konsep 3R iaitu dengan menghasilkan sabun basuh pinggan dengan hanya menggunakan minyak terpakai. Pada asalnya objektif projek ini bermula secara dalam talian dan hanya menyasarkan pelajar sekolah menengah sahaja sebagai alternatif kepada mereka yang tidak dapat melakukan aktiviti secara bersemuka di sekolah ketika berlakunya penularan wabak COVID-19. Namun tidak disangka, projek ini berjaya menarik minat sekolah-sekolah sekitar Negeri Sembilan dan Selangor, antaranya SMK Kompleks KLIA, SMK Telok Datok, SMA Nilai, SMAP Labu, SMKA Putrajaya dan Kolej Genius Insan USIM menjadikan jumlah peserta seramai 867 orang.
Mendapat sambutan masyarakat setempat
Bukan setakat mendapat sambutan yang baik di peringkat sekolah, projek ini juga berjaya menarik perhatian penduduk sekitar Taman Desa Kolej dan Masjid Kariah Panchor Jaya, Seremban yang menjadikan jumlah penyertaan komuniti luar adalah seramai 250 orang. Apa yang mengagumkan, projek ini telah berjaya mencapai penyertaan melebihi 1000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan juga umur. Berdasarkan soal selidik responden yang berjaya dikumpul, sejumlah 98.6% komuniti yang terlibat mengetahui cara-cara untuk membuat sabun organik menggunakan minyak masak dan 99.5% responden bersetuju dengan mempraktikkan konsep sisa sifar dan konsep 3R, pencemaran air, udara dan tanah dapat dikurangkan.
Memperoleh pelbagai kejayaan
Projek ini juga telah berjaya menempa nama dalam beberapa pertandingan inovasi di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa. Antaranya ialah pingat emas dalam 2nd Innovation Bank Challenge 2022, pingat emas dalam International Innovative Competition 2022 dan juga pingat emas harapan dalam International Conference on STEM Education 2022. Berpaksikan motto USIM, “Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa”, projek ini berjaya memberi ilmu baharu sekaligus berbakti kepada komuniti di luar sana.
Penulis :
- Muhammad Ilham Bin Mamauod
- Noor Nabilah Binti Rusli
- Aiman Shahindah Binti Ahmad Jaffar
- Aisyah Syahera Binti Mohd Asri