BELAJAR DENGAN PENSYARAH, MENEROKA DENGAN PAKAR INDUSTRI!” – YEEP USIM CETUS INSPIRASI 100 GENERASI MUDA

 

Nilai, 18 November 2026 – Seramai 100 pelajar sekolah berpeluang meneroka dunia sains, teknologi dan kejuruteraan melalui pelaksanaan Young Engineers Explorers Programme (YEEP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM melalui Unit FaSTLab, sebagai sebahagian daripada inisiatif Program Tusyen STEM di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Malaysia.
Pengisian program merangkumi sesi perkongsian oleh wakil industri dan pensyarah, diikuti dengan aktiviti Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning), yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mencuba sendiri, meneroka dan mengalami secara langsung aktiviti STEM yang dijalankan antaranya pencetakan 3D, semikonduktor & sensor, teknologi dron, kecerdasan buatan, robotik serta pameran inovasi pensyarah.
Selain itu, pelajar turut berpeluang mengikuti aktiviti ringkas di Makmal Elektronik dan Makmal Fotonik yang dirancang secara berstruktur bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan aplikasi sains dan teknologi. Pendekatan pembelajaran secara langsung ini membolehkan pelajar melihat, mencuba dan memahami bagaimana konsep sains diterjemahkan kepada teknologi dan penyelesaian dalam kehidupan seharian. YEEP USIM telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Mohd Zalisham bin Jali.
“Melalui Program YEEP ini, FST USIM memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan sekolah-universiti-industri, selain menyokong usaha memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda”, komen pengerusi Unit FaSTLab, Prof. Madya Dr. Nur Athirah M Taib. Pengalaman belajar bersama pensyarah, meneroka teknologi bersama pakar industri dan melihat hasil penyelidikan secara dekat diharap dapat mencetuskan inspirasi dalam menyemai minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan pada masa hadapan. Hari ini inspirasi, masa depan inovasi!