i-Fest’17 tarik minat masyarakat dan warga USIM tehadap kegemilangan sains

Nilai-Islamic Festival Science and Technology (i-Fest’17) anjuran Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (Sekrefast) telah menarik minat lebih 1000 orang terdiri dari dalam dan luar USIM. Program yang dianjurkan untuk kali keempat ini bertujuan mengajak masyarakat mendekati sains dan membuka peluang memperhalusi sejarah peradaban Islam yang mengetengahkan kemajuan sains dan teknologi.

Dengan tema ‘Biz Bir Ummatiz’ yang membawa maksud ‘kita satu umat’ dalam bahasa Turki, dimulakan dengan ceramah Ahmad Ammar: Kematian Yang Hidup yang disampaikan sendiri oleh ayah kepada Allayarham Ahmad Ammar. Program pembuka tirai i-Fest ini telah berlangsung pada 4 Mei di DKP3 berjaya membuka mata dan hati pendengar seramai 500 orang berkenaan matlamat hidup. Salah satu kata-kata hikmah yang menjadi ingatan adalah berkenaan Ahmad Ammar yang mana beliau berjaya melepasi kegilaan remaja yang menyebabkan beliau bersungguh mendalami ilmu di Turki.

Program diteruskan dengan USIM Runtalya yang berlangsung pada 14 Mei. Larian sejauh 7km di sekeliling kampus USIM ini dirasmikan oleh Prof Dato’ Dr Musa Ahamd, Naib Canselor USIM. Program yang menarik minat 300 orang peserta ini mempunyai keunikannya tersendiri yang mana setiap peserta membawa bunga tulip semasa larian berlangsung. Runtalya yang berasal dari Turki membawa makna Run with the Heart of the World sempena mengambil tema larian yang terkenal di Turki.

 

Progam utama i-Fest pula berlangsung pada 18 hingga 19 Mei di Dewan Tuanku Canselor (DTC) USIM meliputi Karnival Sains, aktiviti pembinaan roket, ceramah Dari Malaysia ke Marikh oleh Dr Wan Wardatul Amani, Forum Badiuzzaman Said Nursi, sesi mewarna dengan pelajar pra sekolah dan banyak lagi. Selain itu, kerjasama dengan Ureka untuk menganjurkan pertandingan i-Reka serta program keusahawanan oleh enactus juga memeriahkan lagi suasana.