LAWATAN MUHIBBAH INTEGRASI NAQLI DAN AQLI

Nilai 15 Januari 2017 – Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) bagi sesi 2015/2016 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan sebuah lawatan khas bagi membuka ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menyalurkan khidmat kepada komuniti Muslim khususnya di Sabah. Selain daripada memberi khidmat kepada masyarakat, lawatan tersebut juga bertujuan untuk berkongsi idea dan solusi dalam penambahbaikan pengurusan organisasi di peringkat fakulti.

Menurut pengarah program Muhammad Akid Hafriz, program ini telah berlangsung selama lima hari bermula 15 Januari 2017 sehingga 19 januari 2017 dan melibatkan seramai 32 orang peserta. Lawatan ini dinamakan sebagai Lawatan Muhibbah Integrasi Naqli dan Aqli.

Setibanya para peserta di Sabah, mereka telah dibawa ke Kampung Kilimu, Ranau. Menurut wakil kampung tersebut, golongan Muslim yang menetap di kampung tersebut adalah gologan minoriti; 30% islam dan 70% bukan islam. Pelbagai aktiviti yang telah diaturkan untuk dijalankan bersama penduduk kampung tersebut antaranya adalah aktiviti rawatan terapi atau perubatan Islam yang diketuai oleh Ustaz Aizuruddin daripada Man Ana Therapy Centre serta aktiviti gotong royong membersihkan kawasan Kampung Kilimu khususnya di surau.

Dalam aktiviti rawatan terapi yang dijalankan oleh Ustaz Aizuruddin, para peserta juga berpeluang untuk turut serta belajar cara menggunakan teknik akupuntur dan bekam dengan betul. “Kunjungan daripada pelajar USIM serta wakil daripada Man Ana Therapy Centre telah membuka ruang kepada penduduk kampung mencuba teknik baru dalam perubatan selain daripada ubatan daripada hospital  dan rawatan tradisional yang lain”, kata wakil daripada Kampung Kilimu.

Pada 17 Januari, lawatan diteruskan dengan mengunjungi Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Kota Kinabalu. Kunjungan ini telah disambut oleh Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Dr Jahimin Asik serta Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam, Saudara Hannan.

Wakil pelajar daripada SekreFaST USIM, Saudara Muhammad Aqil Irwan telah membentangkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi 2015/2016 di Fakulti Sains dan Teknologi USIM. Pembentangan itu kemudiannya diikuti dengan pembentangan daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Saudara Hannan. “ Diharap segala perkongsian aktiviti yang kami jalankan di UMS dapat memberi sedikit sebanyak idea dan panduan kepada pihak USIM”, jelas Saudara Hannan setelah usai membentangkan aktiviti yang dijalankan.

Para peserta juga dibawa melawat sekitar kawasan Fakulti Sains dan Sumber Alam serta makmal-makmal yang terdapat di fakulti tersebut.

Seterusnya, Lawatan Muhibbah diteruskan lagi dengan mengunjungi Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu yang terletak berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pihak USIM telah menjalankan beberapa aktiviti bersama dengan pelajar-pelajar disekolah tersebut yang melibatkan seramai 36 orang pelajar bermula daripada tahun 3 hingga tahun 5. Antara aktiviti yang dijalankan adalah build your car dan math game : berapa bahagianku. Kedua- dua aktiviti itu berlandaskan sains dan islam.

Pihak sekolah sangat berbesar hati dengan kunjungan daripada pihak USIM serta berterima kasih dengan poster sumbangan yang dihasilkan oleh wakil daripada peserta USIM. Poster sumbangan tersebut akan diwar-warkan di media sosial bagi membantu pihak sekolah.

Para peserta juga telah dibawa melawat ke beberapa tempat yang menarik di Sabah seperti Kundasang, Pulau Manukan dan lain-lain.

Program Lawatan Muhibbah Integrasi Naqli dan Aqli ini telah membuka peluang dan minda peserta, wakil daripada SekreFaST dalam menguruskan sesebuah organisasi dengan idea yang baru serta mempelajari kemahiran yang baru.

 FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6510/6512, Faks: +606-798 6566/6516,